Monday, December 15, 2008

Latihan Abseiling Mengurangkan Rasa Gayat




Rasa gayat dan gerun bagai menggigit-gigit jantungku. Kalau diikutkan hati, mahu saja aku meminta pengecualian dari aktiviti abseiling itu. Peralatan keselamatan telah siap terpakai. Bolehkah aku melakukannya? Kalau orang lain boleh buat, mengapa aku tidak?? Aku cuba memotivasikan diri dengan bisikan-bisikan positif. Ahli-ahli kumpulan yang telah melepasi cabaran itu turut memberi suntikan semangat kepadaku dengan senyuman gembira dan isyarat ‘thumbs-up’ kepadaku sebaik sahaja mereka mendaki semula ke atas tebing.

Ketar lututku apabila giliranku semakin hampir. Batu karang dan alunan ombak laut di bawah tebing sayup kelihatan. Hembusan angin laut Selat Melaka menambah debaran hatiku. Sambil memeriksa segala peralatan keselamatan, jurulatih terus memberiku kata-kata semangat. Dengan membulatkan tekad, aku pun melepaskan genggaman perlahan-lahan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim….

Tanpa aku sedari, aku sudahpun menjejakkan kaki ke tanah. Yessss! I did it! Alhamdulillah… “Encik, boleh saya turun sekali lagi?”. Selamba saja aku bertanya kepada jurulatih yang menunggu di bawah tebing. “Betul ke ni? Tadi, lama betul saya menunggu di bawah ni”, usik jurulatih tersebut dengan senyum lebar.

Ya, aku berjaya melakukannya. Rasa yakin diri kini menyusup ke hati. Kini, aku yakin aku mampu melakukannya. Lain kali, aku perlu yakin dan berani mencuba sesuatu yang baru. Belum cuba, belum tahu. Sekiranya diberi tugasan yang mencabar, aku perlu berani melakukannya. Tentu sekali persiapan fizikal, mental, emosi dan rohani diperlukan. Aktiviti abseiling memberi pengajaran sedemikian. Taklimat, peralatan, persediaan aspek keselamatan dan suntikan semangat mempersiapkan peserta untuk cabaran itu. InsyaAllah setiap peserta mampu melakukannya. Terlintas di benakku, bagaimana ya kalau aku menarik diri awal-awal tadi? Aku mungkin tidak akan tahu bahawa aku sebenarnya mampu melakukannya.
(Coretan Pengalaman peserta di Brindley Training & Camp)

Di Brindley Training & Camp, jurulatih-jurulatih kami yang berpengalaman akan memberi taklimat tentang peralatan, aspek keselamatan dan prosedur terperinci untuk setiap aktiviti lasak. Mereka juga akan menunjukkan demonstrasi sebelum peserta melakukannya sendiri. Bagaimana pula sekiranya peserta mengalami gayat yang amat sangat? Jurulatih-jurulatih kami berpengalaman membujuk dan memberi semangat kepada mereka yang sebegini. InsyaAllah dengan dorongan, bimbingan serta suntikan semangat dari rakan-rakan, mereka mampu melakukannya! Keseronokan dan keyakinan yang terpancar di wajah mereka selepas berjaya adalah kegembiraan bagi kami di Brindley Training & Camp!

Oleh:
Halimah Abd Hamid
Pengarah Urusan, Brindley Training & Camp

No comments: