Monday, December 15, 2008



Latihan Luar (Outdoor) Merapatkan Jurang Komunikasi Dalam Organisasi.

“Di tempat kerja, saya jarang berkomunikasi dengan staff sokongan bahkan saya tak berapa kenal nama-nama mereka. Ternyata latihan luar sebegini mampu merapatkan jurang di tempat kerja yang disebabkan oleh perbezaan jawatan dan pangkat. Kemesraan dapat dipupuk dalam kumpulan kerana perlunya komunikasi dan interaksi dalam melaksanakan misi kumpulan. Saya kini lebih menghargai dan mengenali staff sokongan selepas latihan ini. Nampak kelebihan mereka dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang mencabar di sini.”
Encik Z.

“Kebiasaannya apabila menghadiri mana-mana kursus yang berbentuk seminar atau bengkel sebelum ini, masing-masing akan masuk ke bilik hotel selepas selelsai sesi. Rasa seronok pula tinggal di dorm. Lepas aktiviti terus bersembang sampailah tertidur. Terasa macam muda-muda remaja dulu sewaktu tinggal di asrama. Saya lebih mengenali beberapa orang rakan sekerja sepanjang tempoh 3 hari 2 malam ini berbanding dengan bertahun-tahun di pejabat!”.
Encik R.

“Apabila berada di dalam kumpulan yang sama, Y tidaklah sombong seperti yang saya sangka. Cuma dia agak pendiam sebenarnya. Bila kami melakukan aktiviti kumpulan bersama-sama, sikap kerjasama dan inisiatifnya terserlah. Malah saya nampak bakat kepimpinannya sering menjadi pendorong kepada ahli-ahli kumpulan yang lain. Tak kenal maka tak cinta! Saya dan Y menjadi sahabat baik selepas latihan ini”.
Cik N.

Saya teringat hadith Nabi Muhammad (saw) yang membawa kefahaman sekiranya kita ingin mengetahui hati budi seseorang, hendaklah kita bermusafir dengannya. Di dalam latihan luar sebegini, seolah-olah peserta-peserta berada di dalam kembara sepanjang tempoh latihan. Peserta-peserta latihan akan makan bersama, tidur bersama dan melakukan aktiviti-aktiviti mencabar bersama. Di sinilah peluang dan ruang untuk berkomunikasi dan bekerjasama sesama ahli kumpulan. Masa sebeginilah peserta-peserta dapat mengenali hatibudi rakan-rakan dalam kumpulan.

Latihan luar yang menggabungkan pelbagai jawatan dan pangkat mampu memecahkan tembok-tembok pemisah yang disebabkan perbezaan-perbezaan ini. Pengendalian latihan luar yang baik sepatutnya mampu mencairkan “kebekuan ais” hubungan bermula dengan aktiviti-aktiviti icebreaking. Taklimat muqaddimah pula membawa peserta-peserta ke satu senario bahawa sepanjang latihan, pangkat dan jawatan perlu “ditinggalkan” di luar kem latihan.

Di Brindley Training & Camp, kami menawarkan pelbagai aktiviti berkumpulan yang mampu mewujudkan suasana interaksi dan komunikasi antara peserta kumpulan. Aktiviti-aktiviti seperti jungle treasure hunt, explorace, pengalaman ikhtiar hidup, laluan berhalangan dan berakit memerlukan kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi untuk menjayakannya. Mahu tidak mahu, peserta-peserta kumpulan perlu berkomunikasi dan bekerjasama. Mereka perlu berdisiplin dan mematuhi aspek-aspek keselamatan. Sudah tentu mereka tidak rela sesat di hutan atau karam di laut sekiranya masing-masing seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing!

Oleh
Halimah Abd Hamid
Pengarah Urusan
Brindley Training & Camp
www.mybrindley.com 06-661 0764

No comments: