Friday, February 6, 2009

Berakit di Laut Latih Hadapi Cabaran



Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai

Begitu indah pantun Melayu yang mengaitkan ombak laut dengan cabaran, dugaan atau ujian. Hidup manusia tidak sunyi dari sunnah kehidupan ini. Tujuan kita dicipta Ilahi adalah untuk menguji siapa yang baik amalannya. Semangat dan daya juang kita perlu dibaja dan digilap samada dengan dugaan yang mendatang atau dengan latihan yang dirancang.

Di dalam aktiviti berakit, pelbagai nilai positif boleh diterapkan melalui pengalaman. Bermula dengan taklimat jurulatih lagi, peserta perlu faham dan akur dengan aspek keselamatan yang tidak boleh dipandang remeh. Walaupun laut kelihatan tenang, gelora ombak boleh berlaku. Aspek disiplin dan patuh kepada peraturan amat ditekankan.

Peserta kemudian diajar kemahiran ikatan. Di sini aspek keikhlasan dan ihsan dititikberatkan. Setiap peserta perlu menjalankan tugas dengan baik, mengikat buluh-buluh dengan kemas dan kuat. Sikap acuh-tidak-acuh dalam mengikat buluh boleh menyebabkan ikatan terlerai lantas rakit terburai dipukul ombak. Sifat ihsan sewajarnya tersemat di dalam hati setiap insan untuk melakukan yang terbaik kerana Yang Maha Memerhati sentiasa melihat hambaNya.

Kerjasama diperlukan sepanjang latihan dari mengikat buluh, mendayung rakit ke tengah laut, kembali semula ke pantai dan akhirnya mengemaskan semula peralatan. Di samping itu kualiti kepimpinan ketua dan ketaatan ahli juga diuji. Arahan pemimpin memacu dayungan agar mengikut rentak membelah arus. Tempo seiya-sekata akan menujah rakit mengharung ombak. Sorakan gamat membakar semangat ahli untuk mencapai misi.

Tidak tergambar kepuasan apabila bendera dapat di gapai. Namun misi masih belum tercapai. Perjuangan belum selesai. Rakit perlu di dayung pulang ke pantai. Sampai ke pantai semua perlu di rungkai kembali, di sisih dan di simpan dengan sempurna. Barulah misi dikatakan terlaksana!

Bersediakah anda berakit mengharung ombak, melawan arus dan meredah angin laut? Ianya menjanjikan satu pengalaman berpasukan yang sukar dilupakan! Bersama-sama menghadapi cabaran mengharung ombak. Buluh sama diikat, rakit sama didayung. Alangkah indahnya kiranya semangat kerjasama semasa berakit diterjemahkan di tempat kerja dan dalam keluarga, baik di bandar ataupun di kampung!